Emak, ayah dan aku

emak..bernama hajjah zainab hj tahir..
tarikh 21 november 2014 ..tarikh paling sedih untuk dikenang...pukul 12.10 malam emak menghembuskan nafas terakhir.. kembali ke sisi Allah Azzawajalla..berakhirlah kerinduan beliau kepada anak-anak setiap hari. Namun, aku sebagai anak bongsu sudah cuba melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin sebagai seorang anak...

emak dan bapa menghantar aku ke sekolah Raja Perempuan Taayah..suapaya aku menjadi anak yang lebih baik...memang betul niat emak dan bapa...aku menjadi anak yang berdikari, tahu menghargai jasa orang tua..tidak menyusahkan emak dan bapa..tidak banyak kerenah di sekolah..berdisiplin..lebih banyak mengaji quran setiap kali selepas solat..solat berjemaah..membina hubungan yang baik dengan rakan dan mencapai kecemerlangan dalam akademik sehingga muncul pelajar kedua terbaik bidang sains..Alhamdulillah..besar sungguh jasa mereka.

aku menerima tawaran USM dan UITM..namun aku lebih cenderung untuk mengikuti pengajian matrikulasi USM. Emak dan ayah menghantar aku di Sekolah menengah Raja Tun Azlan Shah, Taiping untuk mengikuti Matrikulasi 1 ..seterusnya mereka menghantar aku untuk menyambung pengajian di USM, pulau Pinang untuk mengikuti matrikulasi 2...Ayah berpesan agar dapat menjadi seorang doktor suatu hari nanti. Aku hanya mampu tersenyum. Aku tidak dapat menyesuaikan diri dengan pengajian matrikulasi. Akhirnya keputusan yang diperolehi tidak memungkinkan aku untuk mendapat kursus perubatan. Akhirnya aku memutuskan untuk memilih bidang mikrobiologi yang ada sedikit persamaan dengan bidang perubatan. Emak dan ayah hanya mengikut sahaja. Alhamdulilah aku mendapat tajaan pihak MARA untuk meneruskan pengajian. Emak dan ayah bukannya orang kaya, tetapi sangat mementingkan pelajaran. Sebolehnya aku tidak mahu menyusahkan mereka semasa di universiti. Aku dapat berdiri dan cuba bangkit semula dari sebuah kekecewaan semasa di matrikulasi. Akhirnya selepas empat tahun di USM, aku berjaya mendapat ijazah kelas kedua. Ayah dan emak sangat gembira di hari konvokesyen aku dan mereka menghadiahkan sejambak bunga yang besar dan cantik di hari konvokesyen. Rasa gembira pun ada kerana aku orang kedua mendapat ijazah dalam keluarga selepas abang. Rasa sedih kerana tidak dapat menunaikan hasrat ayah untuk menjadi doktor.

Aku meneruskan pengajian dengan mengambil diploma pendidikan di USM sebaik sahaja mendapat keputusan semester akhir. Akhirnya selepas setahun aku berjaya mendapat pekerjaan sebagai guru di Sabah. Syukur Alhamdulillah kerana niat menjadi guru dari kecil  tercapai akhirnya..walaupun cita-cita  sebagai doktor tidak kesampaian tetapi itulah yang dinamakan takdir Allah mengatasi segalanya. Ada hikamah di sebaliknya. Ayah berat untuk melepaskan aku ke Sabah memandangkan emak tidak sihat. Puas beliau membawa aku membuat rayuan ke Kementerian Pendidikan untuk menukar tempat bekerja namun gagal. Akhirnya aku mengambil keputusan meneruskan niat ke Sabah. Ayah juga yang bersusah payah menghantar aku ke Wisma Belia sebelum ke lapangan terbang Subang. Hanya Alllah yang tahu kesedihan hati ini kerana hendak meninggalkan emak yang sakit dan ayah yang semakin uzur. Tetapi aku tidak menunjukkan kesedihan di hadapan ayah. Biarlah ayah merasa selesa dan tidak susah hati dengan pemergian aku ini.

Sepanjang empat tahun di Sabah, setiap tahun aku akan balik ke rumah di Perak. Biarlah aku tidak menyimpan duit asalkan duit yang aku dapat digunakan untuk tiket kapal terbang dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu, Kota Kinabalu ke K.Lumpur dan Kuala Lumpur ke Pulau Pinang. Bayangkan berapakah tambang untuk pergi dan balik sabanyak empat kali setahun. Ditambah dengan buah tangan yang aku kirimkan untuk emak dan ayah. Tidak mengapa aku berhabis wang demi emak dan ayah. Keputusan untuk balik kampung adalah tepat kerana pada tahun 1996 bulan Disember selepas seminggu aku berada di kampung ayah diserang sakit jantung dan meninggal dunia di Langkawi. Memang aku masih ingat ayah memandang aku dengan pandangan yang lama semasa aku di tangga rumah. Ketika itu ayah bersiap untuk ke Langkawi.  Itulah kali terakhir aku melihat ayah dan bercakap dengan ayah. Aku dikejutkan oleh kakak waktu tengah malam mengatakan ayah telah tiada. Aku bangun dan termenung dan melihat diluar kakak dan abang berkumpul. Jenazah ayah hanya tiba lewat petang dari Langkawi. Orang begitu ramai menziarahi beliau mungkin kerana beliau seorang ketua kampung dan dikenali ramai. Malahan kami sendiri termasuk emak tidak dapat menatap wajah ayah dengan lama kerana orang terlalu ramai mengerumuni jenazah. Aku pasrah dan menghantar jenazah ke pusara. Aku membersihkan bilik yang menempatkan jenazah ayah ketika dimandikan. Tangisan tidak dapat dibendung lagi ketika mencuci lantai. Sehelai baju ayah aku simpan hingga kini untuk kenangan. Semoga ayah ditempatkan bersama orang yang beriman.amin. Besar sungguh jasa ayah pada aku.

Aku agak terkilan kerana tidak sempat membantu ayah setiap bulan kerana baru bekerja tetapi ayah memahami aku yang kerapa berulang alik dari sabah ke semenanjung. Aku mula bekerja pada Jun 1995 dan pada 1996 ayah sudah meninggal dunia. Namun aku masih dapat membantu ayah bila ayah memerlukan wang untuk membantu kakak yang menghadapi masalah. Alhamdulillah aku rasa lega kerana dapat membantu di kala ayah kesusahan.

Tinggallah emak meneruskan hidup seorang tanpa ayah. emak tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan anak-anak untuk meneruskan hidup. Alhmdulillah aku ditemukan jodoh sewaktu bekerja di Sabah. Pada 1997 aku berkahwin, namun aku masih merujuk pada emak sewaktu mula berkenalan kerana aku mengharapkan redha seorang ibu untuk meneruskan hidup. Aku tidak mahu menjadi orang lain yang sanggup membelakangkan ibu demi seorang kekasih. Ya redha ibu sangat penting untuk mendapat redha Allah. Semasa hendak membeli rumah di Parit Buntar aku juga merujuk ibu supaya ibu tahu bahawa aku sentiasa memerlukan redha emak. Aku berasa selesa bila emak memberikan pendapat.Aku juga berniat agar emak sudi tinggal dengan aku nanti . Aku juga berusaha membawa alamari pakaian emak ke rumah aku dengan harapan emak suka tinggal di rumah aku. Tetapi emak selalu cakap buruk-buruk rumah di kampung pun masih sentiasa ingin tinggal di kampung berbanding rumah batu di taman perumahan.

Aku telahpun minta bertukar di Semenanjung supaya dekat dan mudah menziarahi emak. Aku berusaha membuat jadual untuk adik beradik bergilir menjaga emak setiap minggu semasa emak uzur dan tinggal sendirian. Tetapi usaha aku tiada sambutan kerana hanya aku dan seorang kakak yang mengikuti jadual ini. Adik beradik lain keberatan untuk tidur di rumah emak kerana sudah ada rumah yang hampir dengan rumah emak. Tidak apalah yang penting aku telah cuba untuk gembirakan hati emak. Ada satu ketika aku menangis tanda bersyukur kerana dapat mengutip dan mencuci najis emak yang bertaburan di lantai. Ketika aku melahirkan anak pertama, emak tidak sabar menunggu aku balik dari hospital. Sehingga kaki emak tersadung pada kaki sofa yang dibuat dari rotan. Ya Allah begitu seronok seorang ibu untu menyambut anak bongsu dan cucunya sehingga lupa kaki telahpun cedera dan kesannya jari kaki emak bengkok hingga di saat kematiannya pada 21 November 2014. Ada ketika emak ditahan di wad kerana masalah jantung dan astma. Aku cuba membuat jadual supaya kami bergilir menjaga emak di hospital. Tidak apalah asalkan kami dapat bersatu dalam menjaga emak. Aku tidak melepaskan peluang tidur bersama emak di katil yang sama.

Semasa aku tidur di rumah emak, aku sedaya upaya tidur hampir dengan emak supaya emak gembira. Kami sama-sama solat malam untuk bertahajud. Emak rajin solat dan berzikir dan membaca quran.
Aku terpaksa bangun awal pagi untuk bekerja di Parit Buntar supaya tidak terlewat tetapi aku pastikan emak ada sarapan dan urusan lain terjaga. Emak banyak meluahkan isi hati kepada aku, tetapi aku sebaik mungkin cuba menenangkan emak. Emak jatuh di bilik air rumah kakak menyebabkan emak tidak mampu berjalan sehingga saat kematiannnya. Pada ketika emak di rumah aku, aku cuba memberi tempat selesa untuk emak berulang alik ke tandas. Makanan yang emak suka aku cuba sediakn dan cari. Emak memang suka apa saja yang aku suka makan. Selera makan kami juga sama. Emak suka makanan dan minuman seperti tapai, ikan pekasam talapia, jeli kelapa, masak asam, sambal belacan, masak lada dan cendul. apa yang emak suka aku cuba mencarinya atau menyediakannya.

Semasa anak-anak masih kecil, emak menjahit seluar dan baju untuk anak aku. Ya memang tidak cantik bagi orang lain tetapi cantik bagi aku dan aku sangat menghargainya. Sehingga kini aku masih menyimpan pemberian ibu. Ada juga emak memberi baju pada aku dan aku suka. Kata emak aku tidak cerewet dengan pakaian kerana katanya pernah emak menberi seluar yang dijahitnya sendiri tetapi kakak aku tidak mahu. Tetapi kakak aku dan aku berbeza dari segi gaya hidup kerana aku seorang yang tidak cerewat dengan pakaian atau apa sahaja.

Kami selalu bercerita di rumah. Aku membawa emak ke depan TV supaya emak dapat menonton program agama seperti tanyalah ustaz. Kadangkala jiran dan kawan-kawan aku datang menziarahi emak di rumah aku. Emak suka berbual dan tersenyum dan seorang pemalu. Kami juga selalu bercerita tentang kematian kerana kematian suatu yang pasti dan kita semua patut bersedia ke arahnya. Aku selalu memberitahu emak bahawa Allah sangat sayang pada emak kerana Allah panjangkan usia emak sehingga melebihi 80 tahun. Tidak seperti orang lain yang selalu sakit dan meninggal dalam usia muda. Aku sendiri mula diserang kanser pada usia 37 tahun. Tetapi mungkin berkat melayan emak dengan baik dan niat menjaga emak, aku sembuh dan dapat menunaikan haji pada 2009. Semasa hendak meninggalkan emak pada 2009 aku sangat berharap Allah panjangkan umur lagi untuk berjumpa emak. Emak menangis semasa hendak berpisah dengan aku tetapi seperti biasa aku menenangkan emak dan Insyaallah dapat berjumpa lagi. Aku juga sedih tetapi tidak sesekali akan menunjukkan rasa sedih di hadapan emak.

Pengorbanan aku pada emak akan diteruskan. Aku meluahkan hasrat membawa emak mengerjakan umrah bersama ahli keluarga lain. Alhamdulillah niat aku dimakbulkan semasa aku berdoa di Tanah suci 2009. Pada ketika aku menolak kerusi roda ketika tawaf, bergenang air mata kerana Allah memberi aku kekuatan dan kemudahan untuk memudahkan emak melaksanakan tawaf. Biar aku penat tidak apa asal ibu dapat membuat ibadah dengan mudah dan selesa. orang lain membuka jalan untuk aku ketika tawaf. Ketika seusai solat sunat di hadapan kaabah , aku menangis kerana bersyukur pada Allah diberi peluang dapat berbakti pada emak walaupun sedikit.

Tahun 2013 dan 2014 adalah tahun mencabar bagi aku kerana emak hendak tinggal di rumah kakak sulung. Kakak sulung juga uzur. Aku dan kakak aku memutuskan mencari pembantu untuk menjaga emak di rumah kakak. Alhamdulillah selepas puas bertanya dan mencari seorang suri rumah yang menghadapi masalah kewangan sudi menjaga emak. Bayaran dibuat setiap minggu pada pembantu. Seperti biasa aku dan suami membuat jadual bayaran. Malangnya banyak kali emosi kakak sulung terganggu kerana bayaran tidak dibuat oleh individu yang sepatutnya. Ada yang tidak sanggup memberi wang pembantu ibu..kerana apa aku sendiri tidak pasti. hanya RM100 bukanlah jumlah yang banyak dalam tempoh 6 minggu untuk kami berkongsi 6 beradik yang bekerja tetap. Aduhai apalah nasib emak sebegini kerana emak sangat sedih dengan keadaan begini. Aku tidak tahu untuk menenangkan emak lagi kerana aku sendiri tidak faham dengan masalah ini. Bagi aku apalah sangat dengan jumlah rm100 dibanding dengan jasa emak menjaga anak-anak dan membesarkan serta menyekolahkan anak-anak sehingga mampu mendapat pekerjaaan yang baik. Jika bukan kerana mereka siapalah kita hari ini? sudahlahlah bantuan bulanan sebelum ini tidak diberi, wang pembantu juga tidak diberi. Apa lagi yang aku patut buat untuk membantu emak?

Emak beritahu aku emak tidak harapkan wang ringgit yang banyak..cukup sekadar datang ziarah selalu dan hulurkan sedikit bantuan pun tidak apa. Setiap kali hendak meninggalkan emak di rumah kakak seusai ziarah, aku akan memeluk emak, mengusap belakang emak dan memandang mata emak yang semakin layu. Sampai masa mata itu akan tertutup terus dan aku tiada peluang lagi berbakti pada emak. Emak akan bertanya bila lagi akan datang ziarah dan seperti biasa aku beritahu Insyaallah akan datang setiap minggu tidak kira hari apa pun. Aku tidak mahu emak menjadi penunggu setia jika diberitahu tarikh dan hari dan akhirnya akan sedih jika anak yang ditunggu tidak muncul.

Tiga minggu sebelum meninggal, kakak sulung beritahu emak kelihatan lain macam..tidak bertanya tentang anak-anak dan kurang bercakap. Aku mula risau dan balik menjengok emak. Kelihatan emak seperti biasa. Aku tidur di riba emak ketika itu. Seperti biasa kami bersembang sambil menjamu selera kueh mueh dan roti. Pada ketika itu emak sudah kenyang kerana baru makan nasi waktu tengahari. Kakak kelima aku pun balik bersama dan kami berbual dengan emak. Emak senyum sentiasa seperti  selalu. Sepuluh hari sebelum tarikh 21 november, kakak sulung membawa emak ke rumah anaknya di Kepala Batas kerana kakak ada rawatan di hospital Kepala Batas. Anak saudara aku sempat merakam video emak ketika di atas katil. Emak ceria dan banyak tersenyum.

Semasa di kepala Batas aku menelefon kakak bertanya keadaan emak. pada 20 November aku menelefon kakak lagi dan emak sempat bercakap dengan aku. Itulah kali terakhir aku bercakap dengan emak. Emak beritahu hendak balik ke tanjong Piandang , tetapi aku meminta emak menunggu kerana kakak sulung sakit gout. Emak beritahu nak duduk rumah aku. Aku  mula membayangkan bilik yang emak selalu duduk sedang berselerak dengan kerenah anak aku. Tapi tidak apa kerana aku akan kemaskan sebaik mungkin untuk keselesaan emak.

12.30 tengah malam 21 November aku dimaklumkan emak pengsan sebaik sahaja masuk dalam van untuk balik ke tanjong Piandang. Aku tidak sedap hati dan akhirnya pukul 12 lebih anak saudara memberitahu emak telah mengadap Allah. Allah sahaja yang tahu. Aku cuba bertahan di hadapan suami tetapi tidak mampu. Apa yang aku takut selama ini berlaku jua. Ya Allah akhirnya emak pergi di pagi Jumaat yang sungguh mulia dan dalam keadaan yang mudah dan tidak menyusahkan anak-anak.

Aku bergegas ke rumah kakak sulung di Tanjong Piandang dengan suami. Anak-anak kami tinggalkan di rumah kerana mereka sedang tidur. Sebaik sahaja jenazah tiba dengan van dari hospital Kepala Batas, rasa sebak tidak dapat dibendung lagi. Tidak sanggup rasanya menatap jasad kaku yang emak. Tiada lagi panggilan emak selepas ini untuk emak kandung yang bersama kehidupan aku selama 44 tahun. Emaklah segala-galanya bagi aku selain suami yang snagat memahami dan bertanggungjawab dengan isteri dan emak mertua.

Aku bersyukur kerana doa aku dimakbulkan Allah. Aku selalu berdoa agar Allah sihatkan emak untuk beliau bersolat dan berzikir hingga akhir hayat. Aku mengurus jenazah emak sebaik sampai. Aku membuat persiapan untuk mandikan dan kafankan bersama emak saudara yang sangat menyayangi emak. Ya aku mendapat pengalaman  berharga tentang fardu kifayah ini. Emak ada berpesan agar aku mandikan jenazahnya bila dia meninggal nanti. Alhamdulillhah aku dan kaka-kakak mandikan emak sebaik mungkin. Jenazah ibu bersih berseri seperti sedang tidur. aku juga sempat mencium emak banyak kali sebaik jenazah sampai. Selepas ini tiada lagi emak di dunia untuk aku sentuh dan sayang.


rukun islam ke lima

 
Blog Ummi Nina Blog Design by Ipietoon